ARISYA menutup pintu kereta Honda City putihnya. Hadiah daripada mama sempena hari ulang tahunnya ke 23. Dia tahu itu pun kerana dia bertanya Mak Jah, pembantu rumahnya sejak dia kecil lagi. Memang dia ada bertanya dengan mamanya, tapi wanita bekerjaya itu hanya diam tidak menjawab.
Arisya melangkah masuk ke dalam syarikat besar milik Tan Sri Tengku Muiz. Nama yang similar dengannya. Seperti dia pernah mendengarnya tetapi Arisya tak pasti siapa. Arisya terus menaiki lif ke tingkat 13 setelah diberitahu penyambut tetamu. Hari ini dia akan membentangkan proposal yang dia bertungkus lumus menyiapkannya bagi rekaan dalaman untuk hotel yang sedang dibina syarikat ini, Anugerah Jaya Holdings. Syarikat yang mempunyai berpuluh-puluh anak syarikat di serata tempat termasuk beberapa buah di luar negara.
Arisya kagum dengan syarikat ini kerana berjaya merebut tender yang bernilai hampir seratus juta. Memang mengagumkan. Bukan calang-calang orang boleh merebut tender yang begitu besar. Tapi tak hairanlah kerana syarikatnya sendiri pun sudah tak ternilai harganya.
Sampai di pintu bilik mesyuarat, Arisya membaca bismillah sebelum mula melangkah masuk. Mata-mata di situ serentak memandangnya. Namun itu tidak membuatkan Arisya gugup. Malah dia dengan berani ke hadapan dan mula memperkenalkan diri. Arisya mula membentangkan rekaannya dengan bantuan slide yang disiapkannya dengan teliti dan yakin. Dia bercakap dengan lantang dan spontan. Sampai tangan-tangan naik sekali menunjukkan kesungguhannya berbicara.
Arisya tersengih bangga apabila penilai-penilai daripada Anugerah Jaya holdings menepuk tangan kuat setelah dia selesai membentangkan rekaannya.
"Setakat ini saya dah bentangkan semuanya. Any question?" Arisya meneliti satu persatu wajah yang ada dalam bilik mesyuarat itu. Pandangannya terjatuh pada wajah yang sedang melihatnya tajam. Kenapa wajah itu ada iras dengan seseorang yang dia kenali. Seperti.. lamunannya terganggu apabila mendengar namanya dipanggil.
"Boleh Cik Arisya terangkan macam mana konsep kasih sayang ini akan membantu dalam melariskan hotel Waja nanti?"
Arisya menarik nafas panjang sebelum dia mulakan penerangannya.
"Konsep kasih sayang ni berfungsi apabila suatu keluarga atau pasangan suami isteri inginkan percutian yang menarik. Tanpa menyusahkan mereka. Jadi kalau mengikut apa yang saya terangkan tadi, saya ada tekankan yang hotel yang menyediakan kemudahan untuk anak-anak berehat akan menarik perhatian para ibu bapa supaya menginap di hotel itu. Jadi mereka tidak akan susah payah melayan ragam anak-anak. Tapi bukan untuk anak-anak sahaja, kita akan menyediakan ruang untuk para suami isteri yang ingin berhoneymoon."
"Honeymoon hanya untuk yang baru kahwin je cik adik oi..." suara pesaingnya kedengaran jelas seakan ingin mengkritik hasil kerjanya.
"Kalau dilihat secara terperinci rekaan kami bukan hanya berkonsepkan honeymoon tapi, lebih kepada rekaan yang menitipkan nilai kasih sayang. Setiap sudut adalah untuk rakaman setiap memori waktu bersama keluarga, perasaan ini sepatutnya diwujudkan."
Suara lain pula yang bersuara menanyakan soalan. Arisya dengan sabar melayan kerenah para penilai sehingga akhirnya pihak Anugerah Jaya Holdings memilih rekaannya untuk rekaan dalaman hotel yang bakal diiktiraf nanti.
"Tahniah Cik Arisya. Walaupun masih muda, awak nampak berkeyakinan." wanita bernama Anita itu memuji Arisya sambil menggenggam erat tangan lembut Arisya. Dia kagum dengan kebolehan Arisya.
Arisya hanya tersenyum dan mengucapkan terima kasih. Dia kemudiannya berlalu dan meninggalkan syarikat korporat itu. Mama pasti bangga dengannya. Sudah banyak projek yang dia dapatkan bagi menambahkan lagi pendapatan syarikat.
No comments:
Post a Comment